Thursday, June 2, 2011

Esok dah masuk 1 Rejab 1432 daa

Assalam,
jom puasa esok.
muslimah girls yang belum abes qada' mane2 yang patut tu dah masuk bulan warning dah ni.
cepat cepat sebelum terlambat... jom bilang, Rejab, Syaaban, RAMADHAN, Syawal :)



amek article ni kat sini

Orang-orang yang berpuasa pada bulan Rejab boleh dikategorikan kepada beberapa kumpulan:

1. Mereka yang memperbanyakkan puasa sunat pada bulan-bulan Haram, iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab tanpa melakukannya secara berterusan. Ini adalah sunnah.




2. Mereka yang berpuasa sunat Isnin, Khamis dan sebagainya dalam bulan Rejab. Mereka berpuasa sunat bukan kerana fadilat Rejab yang bersumber dari hadis yang tidah sahih tetapi kerana hadis-hadis yang menganjurkan puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis. Ini adalah sunnah.

3. Mereka yang berpuasa sunat dalam keseluruhan bulan Rejab kerana fadilat Rejab yang bersumber dari hadis yang tidah sahih. Ini BUKAN sunnah.

4. Mereka yang berpuasa secara berterusan daripada bulan Rejab, Syaban, Ramadhan dan enam hari bulan Syawal. Mereka tidak berhenti kecuali pada 1 Syawal. Ini BUKAN sunnah.

5. Mereka yang melarang apa-apa bentuk puasa sunat dalam bulan Rejab. Ini tidak benar. Boleh berpuasa sunat dalam bulan Rejab sebagaimana yang disebut dalam kategori pertama dan kedua di atas. Yang dilarang ialah puasa sunat kerana fadilat Rejab yang bersumber dari hadis palsu.

6. Mereka yang mengqadha puasa Ramadhan yang lepas dalam bulan Rejab. Ini dibolehkan selagi mana dia tidak beriktikad adalah lebih utama untuk mengqadha dalam bulan Rejab kerana fadilat-fadilatnya yang bersumber dari hadis yang tidak sahih. (Hafiz Firdaus).







Rejab Kembali, Sya'ban Menanti, Ramadhan Dirindui.

اللهم بارك لنا في رجب وشعبان، وبلغنا رمضان

Ya Allah, berikanlah kami keberkatan pada bulan Rejab dan Sya'ban, dan jadikanlah kami bertemu dengan Ramadhan.

Firman Allah dalam Surah Taubah ayat 36,


Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan dalam ketentuan Allah (di Luh mahfuz) pada hari Dia menjadikan langit-langit dan bumi, antaranya empat bulan haram. Itulah agama yang lurus, maka jangan kamu menzalimi diri kamu di dalamnya (bulan-bulan tersebut). Perangilah orang-orang kafir keseluruhannya sebagaimana mereka memerangi kamu keseluruhannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang bertakwa.
Ayat di atas mengkhususkan empat bulan sebagai bulan-bulan haram iaitu tiga bulan yang berturut iaitu Zulqaedah, Zulhijjah, dan Muharram dan satu bulan yang bersendirian yakni bulan Rejab.

Menurut Imam al-Razi RH,

Maksud al-haram (samada bulan haram atau tempat haram) ialah maksiat padanya dibalas dengan balasan yang lebih berat, dan ketaatan dibalas dengan pahala yang lebih besar. (al-Razi, jil.16, ms. 53).

Imam al-Qurtubi menjelaskan (Jilid 8, ms. 67):

Allah Taala mengkhususkan empat bulan dengan menyebutnya, dan melarang kezaliman dilakukan di dalam bulan-bulan ini adalah untuk memuliakannya (bulan-bulan ini), walaupun kezaliman tersebut sememangnya dilarang pada setiap masa.

Berkata Imam Ibn kathir dalam tafsirnya berkaitan ayat di atas:

Berkata Ali bin Abi Talhah dari Ibn Abbas: Sesungguhnya bilangan-bilangan bulan di sisi Allah... al-ayat.. Maka janganlah kamu menzalimi pada bulan-bulan tersebut diri-diri kamu pada keseluruhan bulan, kemudian dikhususkan darinya empat bulan dan Allah menjadikannya sebagai bulan-bulan haram,dan menambah kemuliaannya dan Dia menjadikannya berbuat dosa padanya lebih berat dan amal soleh padanya lebih hebat pahalanya.

Subhanallah, maha suci Allah SWT, penerangan oleh ulama-ulama muktabar ini jelas menunjukkan bahawa bulan Rejab sebagai bulan yang istimewa dan ia menunjukkan satu motivasi supaya umat Islam menambahkan amalan dalam bulan ini bersesuaian pahalanya dilipatkali gandakan.

Puasa Pada Bulan Rejab.

Imam Muslim meriwayatkan dalam kitab Sahih Muslim satu hadith dari Uthman bin Hakim berkata:

Aku berkata: Aku bertanya Sa'id bin Jubair mengenai puasa bulan Rejab, kami pada waktu itu di bulan Rajab. Dia berkata: Aku mendengar Ibn Abbas RA berkata: Adalah Rasulullah SAW berpuasa, sehingga kami menyangka dia tidak berbuka; dan bila dia berbuka, sehingga kami menyangkanya tidak berpuasa.

Imam Nawawi mensyarahkan hadith di atas dengan berkata (Syarh Sahih Muslim, Jil.8, ms.225):


الظاهر أن مراد سعيد بن جبير بهذا الاستدلال أنه لا نهي ولا ندب فيه لعينه، بل له حكم باقي الشهور، ولم يثبت في صوم رجب نهي ولاندب لعينه، ولكن أصل الصوم مندوب أليه. وفي سنن أبي داود أن رسول الله صلى الله عليه وسلم ندب إلى الصوم من الأشهر الحرم، ورجب أحدها. والله أعلم.

Bermaksud:
Yang nyata bahawasanya maksud Sa'id bin Jubair ialah menunjukkan bahawa tidaklah dilarang dan tidaklah disunatkan berpuasa Rejab (kerana bulannya), bahkan untuk puasa Rejab adalah sama hukum sunat dengan bulan-bulan yang lain. Tidak sabit juga larangan dan galakan untuknya secara sendirian. Sebaliknya asal hukum puasa ialah mandub (digalakkan). Dalam Sunan Abi Daud, Rasulullah SAW menggalakkan puasa pada bulan-bulan haram dan Rejab adalah antaranya.

Syarahan Hadits tersebut dalam Kitab Syarah Muslim, Juzu 8, mukasurat 38-39, cetakan Daarul Syaqafah:

“Yang Zohir, bahawa maksud Sa’id bin Jubair dengan istidlal (pengambilan hukum) dengan hadits ini bahawa puasa Rejab tidak ditegah dan tidak disunatkan berdasarkan hadits ini untuk ain (diri) puasa Rejab. Bahkan tetapi bagi puasa Rejab sama hukumnya dengan hukum selebihnya bulan-bulan (yakni dengan hukum puasa dibulan-bulan haram). Tidak tsabit pada berpuasa Rejab tegahan dan tidak tidak tsabit nadab (sunat) bagi diri Rejab, tetapi asal hukum berpuasa Rejab, adalah diSUNATkan. Didalam Sunan Abi Daud, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم mensunatkan berpuasa dibulan-bulan Haram. Padahal Rejab adalah salah-satu dari Bulan-bulan Haram. Wallahu a’lam”

Berkaitan hadith riwayat Abu Daud adalah seperti berikut (Aun al-ma'bud, Jil.4, 507):


((صم من الحرم واترك، صم من الحرم واترك، صم من الحرم واترك)) وقال بأصابعه الثلاثة فضمها ثم أرسلها.
Bererti: Berpuasalah dari bulan haram kemudian tinggal, bulan haram kemudian tinggal, bulan haram kemudian tinggal. Dia berkata dengan menunjukkan tiga jarinya dan dirapatkan kemudian dilepaskan (tidak dirapatkan).

Imam Nawawi telah menukilkan hadith ini dalam kitabnya Riyadh al-Salihin. Beberapa pengarang semasa antaranya Dr. Mustafa Bugha dan rakan-rakannya mensyarahkan hadith ini berkata (Nuzhah al-Muttaqin, Jil.2, ms.130):

Sesungguhnya puasa sunat adalah digalakkan kerana ianya ketaatan yang Allah SWT dan Rasulnya menyukainya lebih-lebih lagi dalam bulan haram. Makruh berpuasa berterusan (siyam al-dahr iaitu puasa setahun selain hari raya) kepada sesiapa yang ditakuti mendapat mudarat, atau menyebabkan hak yang wajib atau sunat terabai sebagaimana hadith riwayat Bukhari dan Muslim: "Tidak ada puasa bagi sesiapa yang berpuasa berterusan". Namun sesiapa yang tidak memudaratkan dia dengan berterusan puasa dan tidak menyebabkannya terabai menunaikan hak yang wajib atau sunat, tidak makruh bagi pihaknya, bahkan mustahab (digalakkan), dan yang paling afdhal berpuasa selang sehari.

Bekal Akhirat.

Bersempena dengan kedatangan Ramadhan yang semakin hampir, kita merasakan bahawa barakah Ramadhan dan kemuliaannya, kita dimotivasikan untuk menambahkan amalan-amalan kita. Puasa secara khususnya merupakan amalan-amalan yang digalakkan. Meneruskan puasa sepanjang Rajab dan sya'ban, tidak memasukkan kita dalam golongan siyam al-dahr kerana siyam al-dahr yang dimakruhkan ialah mereka yang berterusan berpuasa selama setahun kecuali hari-hari yang diharamkan berpuasa sahaja. Walaupun begitu, mereka yang berpuasa kena memastikan bahawa mereka dapat menunaikan hak-hak yang wajib dan sunat yang mereka perlu penuhi.

Selain itu marilah kita sama-sama memperbanyakkan amalan lain seperti solat-solat sunat, sedekah dan sebagainya. Semoga kita dirahmati Allah. Bertuahlah saudara-saudari yang dapat menambah amalan bersempena dengan motivasi al-Quran berkaitan dengan kelebihan dan besarnya pahala di bulan-bulan haram, dan rasa syukur dekatnya kita dengan Ramadhan.

Jikalau ada yang menggelar Ramadhan dengan 'Universiti Ramadhan', maka tidak salah rasanya saya menggelar Rejab sebagai 'Madrasah Rejab' sebelum kita sama-sama memasuki 'Universiti Ramadhan'.

Wallahu 'alam.

*Artikel dipetik dan diadaptasi dari tulisan Dr. Asmadi Mohamed Naim.




Oh by the way, kepada sesape yang nak download Kalendar 1432 Hijrah bleh amek kat sini


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...